Pengikut

Sabtu, April 18, 2009

SEJARAH PAS CAWANGAN SERKAM

Gerakan Islam di Malaysia telah wujud semenjak zaman sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi iaitu di bawah pimpinan para nationalis dan ilmuan Melayu. Allahyarham Dr Burhanudin Al Helmi, Dr Zulkefli Mohammad, Dato’ Abu Bakar Hamzah, Dato’ Hj Othman Hj Abdullah, Dato’ Asri , Ust Hassan Shukri dan lain-lain adalah di antara tokoh yang telah merintis gerakan ini.

Di antara matlamat perjuangan mereka ialah ianya bukan sahaja untuk membebaskan umat Islam Melayu daripada belenggu penjajah, bahkan para pejuang dan pendokongnya ingin juga melihat akan tertegaknya Islam sebagai pemerintah di tanah air.

Parti Negara menghadapi masalah dan krisis dalaman yang akhirnya terpaksa dibubarkan. Maka terbentuklah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang diasas oleh tokoh-tokoh seperti nama-nama yang dicatatkan di atas pada akhir tahun 50’an.

Di Kampung Serkam di antara tokoh perintis dan pengasas ‘ranting’ PAS Kampung Serkam yang terkenal di waktu itu ialah Hj Omar bin Hj Othman, Hitam bin Abdullah, dan Ali bin Bachik. PAS Kampung Serkam telah dengan rasminya ditubuhkan di sekitar tahun 1963 di mana mesyuarat penubuhannya diadakan di Surau Umri.

Di antara ahli kumpulan penyokong gerakan parti PAS Serkam pula ialah Cikgu Salleh bin Ismail, Arifin bin Hj Tain, Hj Salleh Ab Hadi, Abd. Hadi bin Awaludin, Hj Salleh bin Baba, Hj Ab Ghani bin Tawil, Hj Said bin Omar dan ramai lagi. Walau bagaimanapun, antara ahli yang paling aktif pada waktu iaitu Hj Taib bin Hj Ahmad seorang ahli perniagaan (sekarang berumur 82 tahun) dan Hj. Ali bin Bachik.

Hj Taib bin Ahmad selaku Setiausaha telah banyak menyumbang dan mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk parti. Beliau mendapat sokongan dan kerjasama baik daripada seorang lagi aktivis pada masa itu iaitu Mohd Taha bin Kalu yang tinggal di Kampung Umbai
Mohd Taha bin Kalu telah bertanding di atas tiket PAS untuk DUN Serkam bersama calon Parlimen Kawasan Jasin iaitu Jaafar bin Tan pada tahun 1965. Rumah Hj Taib pada masa itu

Walau bagaimanapun, PAS Serkam terkubur beberapa waktu oleh sebab kekurangan tenaga dan pimpinan serta pelbagai permasalahan dalaman iaitu pada era PAS menyertai parti komponen Barisan Nasional pada awal tahun 70-an.

PAS telah kembali semula ke zaman kegemilangannya pada sekitar akhir tahun 70-an di bawah pimpinan para ulama yang telah membawa perubahan yang amat besar dan ketara di arena politik dan harakah Islamiah di negara kita. Ianya telah mewujudkan suatu gagasan dan wadah siasah bagi meneruskan perjuangan mendaulatkan Islam sebagai addin dan sekaligus melaksanakan dasar Islam dalam pemerintahan negara tercinta Malaysia, berlandaskan Al-Quran dan As Sunnah yang akhirnya menubuhkan daulah Islamiah yang diidam-idamkan.

Ledakan gerakan Islam di seluruh negara ini telah memeranjatkan pihak pemerintah sekular Malaysia. Berbagai usaha telah dibuat bagi menyekat gerakan ini. Bagi PAS ini merupakan ujian dan cabaran di dalam perjuangannya. Justeru, PAS terus berkembang di seluruh tanah air. Rakyat mahukan suatu pemerintahan baru berteraskan Islam di Malaysia

Hari demi hari dengan peningkatan dan penambahan ahli dari berbagai lapisan dan profesion masyarakat menyertai PAS, akhirnya ia telah membentuk suatu jemaah yang besar sekaligus telah mendorong tertubuhnya beberapa cawangan PAS di peringkat kawasan di setiap negeri.

Di atas kesedaran ini, beberapa ahli di peringkat akar umbi yang komited di Kampung Serkam telah menubuhkan PAS CAWANGAN SERKAM (yang wujud sekarang) untuk kali kedua (era pimpinan ulama) di bawah pimpinan seorang bekas guru dan aktivis masyarakat Kampung Serkam pada masa itu Yang Berbahagia Tn Hj. Mohd Said bin Omar iaitu di sekitar tahun 1978. Mesyuarat penubuhan telah diadakan di rumah beliau.

Pas Cawangan Serkam telah lama menwujudkan Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI). Ia telah ditubuhkan di sekitar tahun 1994. Kelas asuhan itu diadakan bersebelahan Markas Pas Cawangan Serkam. Alhamdullilah, setakat ini ianya telah berjalan dengan amat membanggakan dan memuaskan. Ia mendapat kerjasama dan sambutan baik daripada masyarakat setempat iaitu dari kampung-kampuang berdekatan seperti Batu Gajah, Merlimau, Sempang, Tedung dan Pulai. Jumlah pelajar lelaki dan perempuan ialah seramai lebih kurang 50 orang.

ACARA QURBAN BERKELOMPOK

PAS Cawangan Serkam dengan kerjasama AJK Surau Umri serta ahli qariah Kampung Serkam pada setiap tahun telah menyempurnakan ibadah qurban Aidiladha . Penyertaan adalah daripada ahli qariah setempat.

Pada tahun ini 1427H sebanyak dua ekor lembu telah diqurbankan .

TOKOH PIMPINAN

PAS Cawangan Serkam pernah menampilkan seorang tokoh pada awal penubuhannya untuk jadi calon bagi pilihanraya kecil DUN Serkam (N17) pada 14hb Nov 1991 menentang calon BN (Hj. Salleh bin Ali ) . Beliau ialah Hj Mohd Said bin Omar selaku Ketua Cawangan PAS Serkam juga YDP PAS Kawasan Jasin.

1. Menjadi pusat UPU pilihanraya tahun 2004 dan cawangan yang paling aktif di dalam Kawasan Jasin

2. Lain-lain kegiatan

a) Tabung Khairat Kematian.
b) Program Ziarah dirumah sakit.
c) Sumbangan Hari Raya untuk fakir miskin/ibu tunggal/anak yatim.
d) Sumbangan untuk pelajar ke IPTA/IPTS
e) Badan Amal UMRI (AJK Pemuda – 2004)
f) Kumpulan membaca Al-Quran dirumah warga kampung yang meninggal dunia
( Kumpulan Muslimin/Muslimat)

SEJARAH PAS CAWANGAN PEKAN JASIN

SEJARAH PENUBUHAN CAWANGAN

Dengan inisiatif Hj. Yahya bin Hj Aminuddin serta kerjasama daripada beberapa orang rakan seperti Hj. Ros bin Misty serta Hj. Ahmad bin Minal, maka pada tahun 1986 tertubuhlah Cawangan PAS Pekan Jasin ini. Mesyuarat penubuhannya telah diadakan di rumah Hj. Yahya bin Hj. Aminudin.

Di antara tujuan penubuhan ini ialah menggerakkan kerja-kerja bagi memperjuangkan suatu wadah perjuangan yang berteraskan Islam, dan juga bagi menambahkan lagi ranting-ranting atau cawangan PAS khususnya di Kawasan Jasin ini bagi membuka ruang kepada masyarakat mendampingi PAS di sekitar kawasan Pekan Jasin tersebut.

Orang yang mula-mula mengasaskan cawangan
1. Hj. Yahya bin Hj. Aminudin
2. Hj Yahya bin Ketot
3. Jaafar bin Hj Bahudin
4. Khamis bin Husain

SEJARAH PAS CAWANGAN AYER BAROK

SEJARAH PENUBUHAN CAWANGAN

Pas Cawangan Air Barok ditubuhkan dengan daya usaha Hj. Harun Konet bersama rakan-rakan beliau seperti Mohd Dom bin Tompang, Husin bin Mat dan isterinya Asmah binti Said, Jaafar bin Abdullah, Abdullah bin Janis, Ali bin Wahab, Ali bin Mahadi dan beberapa orang lain pada 24 hb Jun 1969 .

Mesyuarat penubuhan diadakan di rumah Mohd Dom bin Tompang di mana beliau telah dilantik sebagai Ketua Cawangan dan Hj Harun bin Konet sebagai Setiausaha.

Penubuhan cawangan ini adalah di atas kesedaran, semangat dan daya juang berteraskan Islam yang ada pada diri Hj Harun Konet. Beliau telah menggerakkan jentera dan kerja-kerja parti di dalam memberi kesedaran tentang matlamat perjuangan PAS khususnya kepada masyarakat setempat dan seluruh daerah Jasin amnya. Selaku Setiausaha beliau juga telah terlibat dengan penubuhan beberapa cawangan lain di Kesang, Rim, Kelubi dan beberapa cawangan berhampiran bandar Jasin. PAS Kawasan Jasin ( khususnya DUN Rim ) telah menyertai pilihanraya pada tahun itu.

PENTADBIRAN CAWANGAN
SENARAI AJK KERJA CAWANGAN 2005-2007

Bil Nama Jawatan
1 Hj. Ahmad bin Said Pengerusi Tetap
2 Hj.Ali bin Wahab Tim. Pengerusi Tetap
3 Hj. Dalip bin Dogol Ketua Cawangan
4 Zainal Abidin bin Haris Pen. Ketua Cawangan
5 Ab.Hannan bin Ab.Ghani Setiausaha
6 Abdul Yazid bin Ali Bendahari
7 Razak bin Dogol Ketua Penerangan
8 Mohd Zaini bin Haris Ketua Pemuda
9 Hjh. Khalijah bti Shaari Ketua Muslimat
10 Hj. Mohd Rasid bin Dogol AJK
11 Hj. Mohamad bin Sahut AJK
12 Hj. Zahari bin Haris AJK
13 Pn. Norasmah bti Mohd Nor AJK
14 Pn. Norizzah bti Mokhtar AJK
15 Hj. Abdullah bin Janis AJK


KEGIATAN DAN AKTIVITI CAWANGAN

PAS Cawangan Air Barok selain daripada menjalankan aktiviti parti, ia juga telah berjaya mengadakan program kemasyarakatan seperti program Ibadah Qurban berkelompok pada bulan Aidil Adha setiap tahun.

TOKOH-TOKOH DARIPADA CAWANGAN

PAS cawangan Air Barok juga telah melahirkan tokoh – tokoh seperti berikut :

1. Hj. Harun bin Konet – Setiausaha Kawasan Jasin yang awal.
2. Cikgu Idris Tukachil – Persuruhjaya PAS Melaka dan pada pilihanraya 2004 menjadi calon piliharaya parlimen Mersing.
3. Puan Hajah Asmah bti Said – Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin pertama.
4. Hj. Ahmad Said – pernah menjawat jawatan Naib Yang DiPertua Kawasan Jasin, Ketua Penerangan Kawasan, Bendahari Kawasan, Ketua PAS cawangan Air Barok dan AJK Perhubungan PAS Negeri Melaka.
5. Sdra. Taufiq Yahya – Setiausaha DPP Melaka, wartawan Harakah dan Setiausaha Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan.

AJK Penaja PAS Kawasan Jasin 1968

Bil Nama Jawatan
1 Hj Bujang bin Madon (Allahyarham) Pengerusi
2 Hj Alias bin Sijak ( Allahyarham ) Naib Pengerusi
3 Abu @ Haron bin Konet Setiausaha
4 Cikgu Ali bin Mahadi Pen. Setiausaa
5 Cikgu Yahya bin Aminuddin ( Allahyarham ) Bendahari
6 Omar bin Abdul Tugas Khas
7 Alias bin Sijak ( Allahyarham ) Tugas Permit Polis
8 Ustaz Salleh bin Yusof J/kuasa Penerangan
9 Cikgu Ahmad bin Kechik AJK
10 Cikgu Ahmad bin Montel ( Allahyarham ) AJK
11 Cikgu Jalil bin Morah AJK
12 Ahmad bin Said AJK
13 Mohd Dom bin Tompang AJK

PAS dalam Kerajaan BN

Pas telah menyertai UMNO dalam BN. Tidak banyak keuntungan didapati semasa bersama dengan UMNO, malah kegiatan Pas terhenti selama 2 tahun walaupun terdapat sedikit tawaran jawatan diberi kepada pemimpin Pas seperti Hj Taha Kalu dan sedikit yang lain. Penyertaan tersebut adalah satu pengorbanan, Pas menanggungnya dengan harga yang tinggi. Apabila Pas disingkir dari BN banyak kerja pemulihan terpaksa dilakukan. Peristiwa itu amat pahit.

Namun demikikan Pas terus berkembang. Ranting-ranting yang telah wujud dahulu diperkemaskan.Bagi kawasan Jasin Darat cawangan yang ditubuhkan terdiri daripada cawangan Pekan Jasin, Air Baruk, Kesang Tua, Selandar, Cincin, Terentang,. Sempang Kerayong, Kemendor, Kelubi.Jasin Pantai pula terdiri daripada cawangan Umbai,Pulai, Serkam, Sempang Merlimau,Sg Rambai, Sebatu ,Batu Gajah. Hinggalah ke hari ini Pas Kawasan Jasin mempunyai 30 cawangan.

Sejarah Pas Kawasan Jasin

Penubuhan Pas Di Kawasan Jasin bermula sekitar tahun 1967. Telah wujud ranting-ranting Pas di Kawasan Jasin, tetapi tidak ada ikatan jamaah untuk menggembeling kekuatan.Usaha untuk menggembeling tenaga ini diusahakan oleh mereka yang pernah merantau di luar seperti di Singapura, guru-guru2 sekolah dan mereka yang berminat kepada Islam

Ramai yang terlibat dalam usaha ini,secara langsung mau pun tidak langsung. Memadailah disebut dalam catatan ini beberapa orang penggerak.

Pengalaman menubuhkan Pas Kawasan Jasin diceritakan sendiri oleh TnHj Harun konet, Bekas Setiausaha Penaja Pas Kawasan Jasin. Pada tahun tersebut beliau bersama Tn Hj Alias bin Sujak mungkin ramai lagi, telah mengambil langkah berbincang dengan kawan-kawan rapat yang seperjuangan. Hasil perbincangan mereka dibawa berbincang denganPesuruh Jaya Pas ketika itu Tn Hj Md Nor Nordin. Akhirnya cadangan untuk menubuhkan Pas Kawasan Jasin dipersetujui.

Alhamdulillah, cadangan tersebut mendapat sambutan yang baik di Jasin. Malahan ramai guru-guru berminat. Maka pada Jun 1968 satu mesyuarat telah diadakan di Rumah Rn Hj Bujang bin Madun. KEputusannya satu Jawatankuasa Penaja dibentuk untuk mengusahakan Penubuhan badan tersebut.

Mei 1969. Mesyuarat penubuhan Pas Kawasan Jasin telah diadakan. Yang diPertua Agong Pas Pusat ketika itu Yang berbahagia Dato Asri bin Hj Muda dan Setiausaha Agong Tn Hj Hassan Adli telah hadir merasmikan Mesyuarat dan merasmikan Penubuhan Pas Kawasan Jasin.

Turut sama dirasmikan ialah tujuh cawangan Pas di kawasan Jasin iaitu Pekan Jasin, Ayer Baruk, Kesang Tua, Terentang, Sempang Kerayong, Kelubi dan Kemendor.Alhamdulillah, maka bermulakah satu detik penting dalam sejaran politik di Jasin.

Jumaat, Mac 24, 2006

PAS & TUNTUTAN AWAL TERHADAP PERLEMBAGAAN NEGARA SELEPAS 1955

Pilihanraya Persekutuan 1955 di adakan - kemenangan mutlak yang berpihak kepada parti Perikatan (51 daripada 52 kerusi), kerajaan British telah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu dengan beberapa syarat yang telah dikenakan.

Pada awal Januari 1956, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah mengetuai satu rombongan ke London bagi membincangkan mengenai masa depan negara khususnya pembentukan Suruhanjaya Bebas untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah kerana parti-parti perkauman yang menganggotai Perikatan (UMNO-MCA-MIC) ketika itu masih mempunyai masalah dalam mencari penyelesaian dan kata sepakat tentang nama negara selepas merdeka, status kerakyatan, bahasa kebangsaan, agama rasmi serta kedudukan dan hak keistimewaan orang-orang Melayu.

Hal ini sangat rumit kerana adanya kepentingan yang berbeza antara satu sama lain. Cadangan mengenai pembentukan Suruhanjaya Bebas ini telah dicadangkan oleh Perikatan dan telah dipersetujui oleh British.

Bagaimanapun, cadangan mengenai pembentukan Suruhanjaya Bebas yang dianggotai oleh orang asing itu telah ditentang hebat dan dibantah keras oleh PAS.

PAS berpendapat perlembagaan negara ini tidak seharusnya dibuat oleh orang yang lain daripada anggota atau rakyat negara ini sendiri.

Adalah suatu perkara yang benar-benar ganjil jika sekiranya Persekutuan Tanah Melayu yang sedang di ambang pintu kemerdekaan ini telah membuat satu suruhanjaya yang meletakkan nasib dan masa depannya sesudah mencapai kemerdekaan kepada beberapa orang yang dijemput khas datang ke negara ini dan mengadakan pula penyiasatan-penyiasatan yang telah ditentukan jalannya untuk menggambarkan tuntutan-tuntutan dan hasrat rakyat negara ini bagi di masukkan di dalam perlembagaan tersebut.

Perbuatan ini selain daripada sesuatu yang ketara keganjilannya, adalah berlawanan dengan asas jatuh bangun dan asas kepercayaan sesuatu bangsa kepada dirinya sendiri.

Bagi PAS, jika sekiranya suruhanjaya tersebut perlu diadakan juga, ia hendaklah diwujudkan dari orang yang benar-benar tahu hal dan selok-belok negara ini. Pada peringkat awal, PAS tidak keseorangan dalam memperkatakan perkara ini.

Raja-raja Melayu juga tidak bersetuju untuk menerima Suruhanjaya Bebas tersebut.

Malah salah seorang daripada Raja Melayu pernah melahirkan kebimbangan beliau terhadap kejujuran Suruhanjaya Bebas itu dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Bantahan PAS itu bagaimanapun tidak berkesan. Pada awal Mei 1956 - pembentukan suruhanjaya telah dilakukan dan wakil-wakilnya telah dilantik oleh pihak British dan Perikatan.
Suruhanjaya ini telah dikenali sebagai Suruhanjaya Reid dengan dianggotai oleh lima orang wakil, iaitu dari England, Pakistan, India, Kanada dan Australia. Empat daripada lima wakil tersebut bukan merupakan daripada kalangan orang Islam.

Sebagaimana disebutkan di awal tadi, perlantikan suruhanjaya ini adalah untuk membuat cadangan perlembagaan bagi mendapatkan pandangan-pandangan yang tidak berat sebelah.

Butir-butir lanjut rujukan suruhanjaya itu adalah seperti berikut:

1. Mewujudkan sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat;
2. Menjaga kedudukan dan kehormatan Raja-Raja Melayu;
3. Perlantikan salah seorang sultan sebagai Raja Berperlembagaan Bergelar.
4. Suruhanjaya ini telah mengadakan perjumpaan atau sidang pertamanya pada akhir Jun 1956.

Walaupun tidak bersetuju dengan pembentukan suruhanjaya itu, namun sebagai tanda penghormatan PAS kepada asas demokrasi dan memandangkan kepada kepentingan bangsa dan negara, maka PAS telah mengemukakan memorandumnya kepada suruhanjaya tersebut pada 14 Julai 1956.

Dalam memorandum itu, PAS telah mengingatkan anggota-anggota suruhanjaya itu bahawa Tanah Melayu adalah negeri Melayu yang telah diakui oleh sejarah dan telah diiktiraf oleh undang-undang.

Justeru, peruntukan dalam perlembagaan bagi mempertahankan hak keistimewaan orang-orang Melayu hendaklah dilihat dari konteks tersebut.

Pada pandangan PAS, sebarang usaha untuk menidakkan hak keistimewaan itu adalah bercanggah dengan hak kemanusiaan dan prinsip undang-undang.

Orang-orang Melayu hanya mempunyai satu kedudukan sahaja dalam negeri ini, iaitu mereka memiliki negeri ini dan hak kedaulatan mereka ke atas negeri ini adalah mutlak.

Oleh kerana itu juga, PAS telah meminta Suruhanjaya Reid untuk menolak kaedah Jus Soli yang dituntut oleh bangsa asing sebagai prinsip dalam pemberian status kerakyatan.

Tuntutan itu tegas PAS sekiranya diterima akan sehubung dengan perkara ini. PAS juga mencadangkan agar struktur sosial dan pola kebudayaan Tanah Melayu hendaklah disesuaikan dengan hak kedaulatan Melayu.

Kebudayaan kebangsaan Persekutuan hendaklah berumbikan kebudayaan Melayu.
Berkaitan dengan itu juga, Bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa pengantar di semua peringkat pendidikan.

Bahasa Inggeris hanya akan menjadi bahasa kedua sahaja dan itu pun untuk tempoh jangka masa lima tahun sahaja.

PAS juga meminta agar Bahasa Melayu digunakan dalam setiap urusan pentadbiran.

Penggunaan Bahasa Inggeris hanya sekadar yang diperlukan sahaja dan ia mestilah dipastikan tidak menjejaskan perkembangan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan.
Sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai asas dan dasar perjuangan, PAS dengan tegas mencadangkan agar agama Islam dijadikan agama rasmi negara.

Ini adalah kerana PAS yakin dan percaya bahawa ajaran Islam sememangnya berkemampuan untuk memandu kemajuan negara dari segi politik.

Dari segi sistem pemerintahan, PAS bersetuju dengan bentuk sistem Persekutuan yang sedia ada.

Bagaimanapun, PAS menekankan bahawa sistem itu hendaklah tertakluk kepada kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu atau Majlis Raja-Raja Melayu yang diketuai oleh Yang Di Pertuan Besar.

Yang Di Pertuan Besar akan dianggap sebagai Raja Berperlembagaan dan Pemerintah Tertinggi bagi Persekutuan Tanah Melayu.

Mengenai soal kerakyatan, PAS mencadangkan agar prinsip kerakyatan yang termaktub dalam Undang-Undang Kebangsaan British 1948 hendaklah dikekalkan dengan beberapa pindaan dibuat, iaitu:
1.Jangka masa bermastautin yang diperlukan oleh bangsa asing bagi melayakkan mereka memohon status kerakyatan ialah tidak kurang daripada 15 tahun.
2.Penggunaan prinsip Jus Soli untuk bangsa asing.
3.Hanya Bahasa Melayu sahaja yang digunakan untuk peperiksaan kelayakan bahasa bagi mendapatkan hak kerakyatan.

Selain itu, PAS juga telah meminta supaya dimasukkan dalam perlembagaan bahawa sesiapa yang telah mencapai kelayakan untuk memohon status kerakyatan di negara ini hendaklah membuat keputusan muktamad sama ada mereka berhasrat untuk menjadi rakyat negara ini ataupun tidak.

PAS menganggap pengistiharan ini adalah penting bagi keamanan negara. Ini adalah kerana sekiranya seseorang itu enggan membuat demikian ia akan dianggap sebagai bangsa asing.

Disamping itu juga, sekiranya seseorang itu tidak mengemukakan permohonannya dalam tempoh jangka masa tiga tahun selepas kelayakan, ia tidak lagi layak untuk mengemukakan permohonan. PAS juga menuntut agar satu rupa bangsa sahaja diwujudkan di Tanah Melayu, iaitu rupa bangsa Melayu. Dari segi hak keistimewaan orang-orang Melayu, PAS meminta Suruhanjaya Reid memperakui bahawa Persekutuan Tanah Melayu adalah milik orang-orang Melayu. Justeru, hak keistimewaan sebagai tuan rumah hendaklah dihormati dan dipertahankan sampai bila-bila masa. Bagaimanapun, PAS telah memberi jaminan bahawa hak kaum asing akan tetap dihormati seperti yang telah dimaktubkan. PAS juga akan menentang sebarang cubaan oleh kaum asing untuk merampas hak orang-orang Melayu kerana ia bertentangan dengan hak kedaulatan orang-orang Melayu di negara ini. PAS juga menegaskan bahawa sebarang pindaan berhubung dengan hak keistimewaan orang-orang Melayu, Bahasa Kebangsaan dan Agama Islam hendaklah dengan persetujuan sebulat suara Majlis Raja-Raja Melayu. Dapatlah dikatakan di sini bahawa kesemua pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menerima baik saranan dan cadangan yang telah dikemukakan oleh PAS itu, khususnya mengenai hak ketuanan Melayu dan segala bentuk keistimewaan yang berkaitan dengannya seperti isu bahasa dan agama yang harus dipertahankan dalam Perlembagaan baru itu.

PAS - PENGENALAN AM

PARTI lslam Se-Malaysia atau ringkasnya disebut PAS adalah sebuah parti politik yang diluluskan pendaftarannya pada 31hb. Mei 1955 dengan Registration No. 733 (Penang). Pada awalnya ia didaftarkan atas nama Persatuan lslam Se-Malaya dengan rujukan kelulusan pendaftarannya 34 in R. of. S 26/52.

Tujuan atau matlamat perjuangan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian lslam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Dengan itu, dasar yang diperjuangkan oleh PAS ialah lslam dengan seruannya ialah Allahu Akbar. Bagi mencapai tujuan atau matlamat perjuangan tersebut, usaha-usaha yang dilakukan oleh PAS termasuklah:

1. Menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan sunnah Rasulullah melalui dakwah, sama ada secara lisan, tulisan mahupun amalan.

2. Memperjuangkn lslam sebagai akidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke-lslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

3. Memupuk dan memperkuatkan ukhwah lslamiah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup lslam.

5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara untuk membela kepentingan umat lslam dan rakyat seluruhnya.

6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya disamping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.

8. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran lslam.

9. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat lslam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

10. Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu serta badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

11. Melakukan apa-apa juga usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan undang-undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.

Hukum tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Rasul serta ljmak dan Qias yang terang dan nyata.

Dengan tertakluk kepada hukum tertinggi tersebut, segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar.

Akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan Muktamar atau Mesyuarat PAS.

Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukkan itu dan badan-badan yang diberikan kepadanya kuasa oleh Muktamar Tahunan dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan yang tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukkan dalam hukum tertinggi PAS dan tidak berlawanan pula dengan dasar PAS, maka sebuah majlis yang dinamakan Majlis Syura Ulama ditubuhkan.

Majlis Syura Ulama berkuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan PAS yang tidak menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat ketetapan mengenainya, mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam Perlembagaan parti dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS serta memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS.

Majlis ini juga berkuasa melantik ahli-ahli jawatankuasa tatatertib PAS seperti yang terdapat pada fasal 75 Perlembagaan parti.

Mengenai ahli PAS, hanya terdapat satu jenis sahaja keahlian di dalam PAS, iaitu dinamakan Ahli PAS. Untuk menjadi ahli PAS, seseorang itu mestilah Warganegara Malaysia, beragama lslam, akil baligh menurut hukum syarak, menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS dan peraturan, arahan-arahan serta keputusan-keputusan parti dari masa ke semasa.

Seseorang pelajar universiti atau kolej universiti tidak boleh menjadi ahli PAS tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Naib Canselor universiti berkenaan.

Permohonan menjadi ahli PAS hendaklah dibuat melalui Setiausaha Cawangan di mana ia berkehendak masuk menjadi ahli atau jika ada sesuatu sebab yang munasabah, maka permohonan bolehlah dilakukan terus kepada Setiausaha Kawasan ataupun Setiausaha Agung PAS.

Seseorang ahli PAS boleh berhenti atau diberhentikan daripada menjadi ahli apabila memohon atau mengisytiharkan diri keluar daripada PAS, dipecat atau menyertai mana-mana parti politik yang lain.

Semua ahli-ahli PAS hendaklah taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran lslam yang menjadi dasar PAS, taat dan patuh kepada Perlembagaan parti serta aturan dan peraturannya, taat dan patuh kepada arahan-arahan dan perintah-perintah parti, melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh parti sedaya upaya yang boleh, menjaga dengan cermat segala rahsia-rahsia parti, mengamal akhlak lslam, mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti dan menerima PAS sebagai satu-satunya wadah perjuangan lslam bagi diri di dalam negara ini.

Semua ahli PAS berhak memilih atau dipilih untuk memegang mana-mana jawatan dalam parti dan boleh dicadang untuk mewakili parti, berhak mengundi dan diundi dalam parti mengikut ketentuan-ketentuan yang terdapat di dalam Perlembagaan parti serta aturan dan peraturannya, berhak menghadiri perhimpunan-perhimpunan dan rapat-rapat parti, berhak memberikan pendapat dan pandangan kepada parti serta berhak mendapat apa-apa gelaran yang ditetapkan oleh parti mengikut yang diputuskan oleh Muktamar Tahunan parti apabila dan pada bila-bila masa ada usul yang demikian.

Antara kewajipan-kewajipan ahli kepada parti selain daripada yang disebutkan tadi termasuklah menunaikan yuran dan lain-lain menurut keputusan parti dari masa ke semasa, melaksanakan arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti sama ada umum atau khusus, menghadiri mana-mana kursus, tamrin, atau perhimpunan parti sebagaimana yang ditetap dan diarahkan, memperdalamkan ilmu pengetahuan khususnya tentang ajaran dan hukum-hukum lslam, memperkuat kedudukan dan menjaga kehormatan parti sama ada di dalam atau di luar negeri. Pada amnya semua ahli hendaklah melaksanakan kehendak-kehendak Perlembagaan parti.